Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad menyerahkan buku ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PPAS sumbang 1,200 buku untuk kegunaan 12 pusat jagaan

SHAH ALAM, 18 FEB: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyumbang 1,200 buku untuk kegunaan 12 pusat jagaan sementara yang menempatkan anak petugas barisan hadapan.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata kebanyakan bahan bacaan disediakan di pusat itu berkonsepkan biblioterapi yang mampu membuka minda dan menyentuh hati kanak-kanak.

“Kita mengikuti perkembangan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan yang digerakkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan bersetuju menghantar 100 buku ke setiap pusat jagaan.

“Sumbangan kecil ini bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak selaras hasrat Kerajaan Selangor untuk melahirkan lebih ramai masyarakat berilmu meskipun dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turut serta pada program menyantuni anak-anak kecil barisan hadapan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.

Sementara itu, Mastura berkata pihaknya sentiasa menambah baik jenis sumbangan untuk dimanfaatkan anak-anak kecil petugas barisan hadapan di pusat asuhan berkenaan.

“Mungkin kita boleh beri alat permainan seperti siri koleksi Lego selain menyediakan buku keibubapaan supaya sukarelawan terlibat dapat mengurus dan mengasuh anak-anak kecil,” katanya.


Pengarang :