Selangorkini
Dr Siti Mariah Mahmud ditemui selepas menyerahkan kit pembasmi Covid-19 secara pandu lalu kepada wakil taska seluruh Selangor di Foyer Jubli Perak, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 23 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program vaksin Selangor, pekerja berisiko antara terawal dapat suntikan

SHAH ALAM, 23 FEB: Pekerja berisiko tinggi di negeri ini antara kumpulan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dibeli majikan mereka.

EXCO kesihatan awam berkata langkah itu berikutan golongan tersebut, termasuk bukan warganegara, antara yang menyumbang peningkatan kes di tempat kerja.

Bagaimanapun, tambah Dr Siti Mariah Mahmud, majikan pekerja asing itu harus membeli vaksin berkenaan untuk disuntik kepada para pekerja.

“Selangor ada lebih 500,000 pekerja asing, jika dibiarkan kita bimbang kes makin meningkat. Oleh itu, majikan perlu beli vaksin dan beri kepada pekerja,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas mengagihkan kit pembasmi Covid-19 di sini menyasar hampir 70 peratus daripada 6.7 juta penduduk negeri ini bakal menerima suntikan.

Selangor sebagai negeri utama industri di negara ini mempunyai banyak kilang dan tapak binaan yang menyaksikan kemunculan banyak kluster Covid-19 dalam gelombang ketiga.

Susulan itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) sejak bulan ini. Program saringan di kilang dan tempat kerja ini bertujuan mengawal kluster baharu.

Semalam, Kerajaan Negeri menjangka pembelian antara dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang bakal diperoleh sekitar Mei atau Jun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu demi memenuhi keperluan warga tempatan dan pekerja asing selain mengurangkan beban kerajaan persekutuan.


Pengarang :