Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Prosedur ketat penghantaran kumpulan pertama Pfizer-BioNTech

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, Comirnaty, menjadi kumpulan pelalian pertama membabitkan 312,390 dos, bakal tiba di Malaysia pada Ahad, menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadual bermula 26 Februari ini.

Ketika persiapan dilakukan untuk menerima bekalan vaksin itu, mari kita imbas penerangan Pfizer berhubung proses pengagihan ke lokasi penggunaan (POU) kerana pelalian ini perlu kekal sejuk beku selepas ia dihasilkan.

Menurut syarikat pengeluar itu, kebanyakan vaksin itu akan dihantar dari kilang mereka di Kalamazoo (Michigan, Amerika Syarikat) dan bakinya dari Puurs (Belgium) terus kepada pelanggan di POU.

Pfizer juga akan menggunakan pusat pengedaran sedia ada di Wisconsin, AS dan di Karlsruhe, Jerman.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer Dr Albert Bourla, menerusi surat terbuka 15 Disember lalu berkata, jurutera mereka membangunkan bekas penghantaran khas atau dikenali sebagai ‘shipper’ yang dilengkapi peranti pemantauan suhu berterusan dan peranti penjejakan lokasi (GPS) pada waktu sebenar.

Peti khas shipper ini mampu mengekalkan suhu yang diperlukan sehingga 10 hari jika tidak dibuka, tanpa menjejaskan integriti vaksin ketika ia dihantar ke seluruh dunia.

Pusat kawalan Pfizer pula akan memantau dan menjejak semua penghantaran bagi memastikan vaksin ini sentiasa dalam keadaan baik pada suhu yang betul serta benar-benar tiba di tempat ditentukan, tepat pada masanya.

Pusat pemantauan yang beroperasi 24 jam ini akan mengambil tindakan segera andai berlaku perkara tidak diingini.

Sebaik shipper tiba di POU, pengeluar menerusi laman webnya menyenaraikan tiga opsyen penyimpanan termasuk penyejukbekuan ultra rendah, yang boleh meningkatkan hayat simpanan sehingga enam bulan lagi.

Ketiga adalah menggunakan unit sejuk beku biasa yang sering ada di hospital. Vaksin ini boleh disimpan dalam peti sejuk dengan suhu 2 hingga 8 darjah Celsius. Apabila kotak dibuka dan disimpan dalam peti sejuk bersuhu sedemikian, bebuli vaksin tidak lagi boleh disejuk beku semula.

Pada Jumaat, Pfizer-BioNTech mengunumkan ia sudah pun menyerahkan data baharu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS menunjukkan tahap kestabilan vaksin itu apabila disimpan di bawah suhu beku -25 hingga -15 darjah Celsius, suhu biasa dalam peti sejuk beku biasa dan farmasutikal.

Ketika ini, label pada vaksin syarikat itu mempamerkan ia mesti disimpan pada suhu tahap beku ultra iaitu antara -80 dan -60 darjah Celsius.

Vaksin itu yang dibangunkan bersama oleh Pfizer, gergasi farmasutikal AS dengan syarikat bioteknologi yang diasaskan pasangan Turki-Jerman, Dr Ugur Sahin dan isteri, Dr Ozlem Tureci, mempunyai kadar keberkesanan sehingga 95 peratus selepas dua dos.

Menurut laporan, antara negara yang sudah menggunakan vaksin ini adalah AS, United Kingdom, negara anggota Kesatuan Eropah, Kanada, Costa Rica, Kuwait, Brazil dan Singapura.

Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, menandatangi perjanjian perbekalan kumpulan pertama vaksin ini pada 11 Januari lalu.

Sehingga bulan ini, Malaysia sudah mendapat jaminan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos menerusi lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

– BERNAMA

 


Pengarang :