Petugas kesihatan Klinik Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 diadakan secara percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang pada 27 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

PU Hafiz antara lebih 200 individu sertai Saringan Komuniti percuma

KLANG, 27 FEB: Seorang bekas peserta program realiti Pencetus Ummah (PU) antara 228 individu yang menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 semalam.

Muhamad Hafiz Muhammad Haneefa, 40, hadir menjalani saringan bersasar percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini bersama isteri dan dua anak lelakinya.

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai PU Hafiz berkata kesempatan itu diambil bagi memastikan dirinya dan keluarga bebas daripada jangkitan berkenaan selain atas tuntutan kerja dalam menjayakan rakaman program terbitan sebuah stesen televisyen tidak lama lagi.

Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa, 40, atau PU Hafiz. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini kali ketiga saya jalani saringan, dua ujian sebelum ini dibuat di klinik swasta dan perlu bayar tetapi kali ini percuma.

“Memandangkan anak saya pun akan kembali ke sekolah dan asrama, jadi ujian ini penting untuk kesihatan mereka,” katanya kepada SelangorKini selepas melakukan saringan semalam.

Juara musim pertama program realiti berunsurkan islamik itu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kemudahan tersebut dan mengajak orang ramai menyertainya di lokasi terpilih dalam usaha melandaikan keluk wabak.

Shahnazri Ariffin, 49. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Shahnazri Ariffin berkata dia dan isteri serta empat anak menjalani saringan selepas mendapat maklumat menerusi hebahan Jabatan Penerangan Malaysia daerah Klang.

“Langkah waspada diambil memandangkan banyak kes positif di tempat kerja dan bersyukur apabila saringan dibuat percuma membolehkan saya membawa keluarga kerana majikan menyediakan ujian sama untuk saya seorang,” kata juruteknik berusia 49 tahun itu.


Pengarang :