AGENDANASIONAL

Pusat borong GM Klang dibuka sepenuhnya hari ini

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pusat borong GM Klang dibuka sepenuhnya bermula hari ini, selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan sektor ekonomi lain beroperasi seperti biasa.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi GM Klang Norsuhaida Othman berkata pembukaan pusat borong itu merupakan berita gembira buat para peniaga untuk mengembalikan sumber pendapatan yang terjejas sebelum ini, selain membolehkan orang ramai mendapatkan keperluan terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

“Dengan ketibaan sambutan Tahun Baru Cina Jumaat ini, orang ramai berpeluang mendapatkan barang-barang keperluan perayaan yang lain di saat-saat akhir kerana sebelum ini mereka hanya boleh mendapatkannya secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Norsuhaida berkata pihak GM Klang sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat selaras dengan penetapan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat kepada pengunjung.

-BERNAMA


Pengarang :