Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PWB sedia latihan untuk wanita maju, tingkat ekonomi

SHAH ALAM, 11 FEB: Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor menyediakan pelbagai latihan dan kursus kepada wanita bagi mendepani era pendigitalan yang dibawa pembangunan negeri.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata program lebih menekankan aspek pemasaran perniagaan di media sosial sebagai usaha membantu ekonomi golongan itu.

“Sekarang program ini banyak dilakukan secara dalam talian memandangkan pandemik Covid-19 dan sesuai untuk semua wanita, tidak terhad ibu tunggal sahaja.

“Mana-mana persatuan yang mahu ahlinya turut serta boleh hubungi PWB berhampiran untuk kita rancang bersama,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam rancangan ‘Wanita Di Dalam Sains dan Teknologi + Covid-19 = Apakah Formula Terbaik? dianjurkan Institut Wanita Berdaya secara dalam talian.

Beliau berkata Kerajaan Selangor turut menyediakan peluang untuk rakyat berkecimpung serta mengembangkan perniagaan mereka menerusi kerjasama Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec).

Menerusi Belanjawan Selangor 2021 pada Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan RM369 juta bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi Selangor.

Usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.


Pengarang :