Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi. Foto AFP
AGENDAGLOBALNASIONAL

Rampasan kuasa: Malaysia bimbang perkembangan terkini Myanmar

PUTRAJAYA, 1 FEB: Malaysia bimbang dengan perkembangan terkini di Myanmar yang dilapor menyaksikan rampasan kuasa oleh tentera pada awal Isnin dengan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myint dan lain-lain pegawai kanan ditahan di ibu kota Naypyidaw.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Malaysia menggesa tentera Myanmar serta pihak berkaitan agar mengutamakan keamanan dan keselamatan di negara itu, mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menyelesaikan sebarang percanggahan elektoral melalui mekanisme undang-undang dan dialog secara aman.

“Malaysia menyokong kesinambungan perbincangan dalam kalangan pemimpin Myanmar bagi mengelak kesan buruk terhadap rakyat serta negara Myanmar, khususnya ketika situasi sukar sekarang akibat penularan Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Media antarabangsa melaporkan tentera Myanmar telah mengambil alih negara itu menerusi rampasan kuasa serta mengisytiharkan darurat selama setahun selepas menahan pemimpin politik dan pemimpin kanan kerajaan atas dakwaan penyelewengan dalam pilihan raya negara tersebut pada November 2020.

Susulan perkembangan semasa di Myanmar, kementerian itu menasihati semua rakyat Malaysia di negara berkenaan agar kekal bertenang serta berwaspada selain mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Untuk bantuan konsular dan kes kecemasan, mereka yang berkenaan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Yangon menerusi talian +95 9 772 220 230 atau e-mel kepada [email protected].

– BERNAMA


Pengarang :