Penyerahan sumbangan RM1 juta oleh Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Kerajaan Pahang melalui Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 26 Januari 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMARENCANA

Ringan beban mangsa banjir, Selangor sumbang RM2 juta ke tiga negeri

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan Negeri menyalurkan RM2 juta ke tiga negeri Pantai Timur yang dilanda banjir antara Disember hingga Januari bagi meringan beban yang ditanggung penduduk.

Menurut maklumat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Inisiatif Bantuan Banjir Kita Selangor disalurkan ke akaun negeri Pahang, Terenggan dan Kelantan pada 25 Januari.

Majlis penyerahan cek cura secara maya disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama rakan sejawatnya di tiga negeri berkenaan pada 26 Januari.

Pahang menerima RM1 juta, sementara Terengganu dan Kelantan masing-masing menerima RM500,000.

“Selangor bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat di negeri-negeri yang dilanda musibah banjir,” kata Amirudin ketika mengumumkan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor pada 20 Januari.

“Bagi menyantuni jiran-jiran tetangga kita, Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir Kita Selangor.”

Dalam laporan kemajuan inisiatif tersebut, UPEN memaklumkan Tabung Co-vid-19 yang diaktifkan semula mendapat sumbangan korporat, anak syarikat dan masyarakat bagi membantu menangani wabak.

Jumlah yang diterima lebih RM2.6 juta membabitkan sumbangan antaranya daripada Yayasan Al-Bukhary sebanyak RM1 juta, Berjaya Golf Sdn Bhd (RM1 juta) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM500,000).

Amirudin sendiri menyumbang sebulan gaji untuk tabung ini, yang pernah mengutip RM9.3 juta ketika dilancarkan tahun lalu sempena pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin.

“Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan potongan gaji meliputi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri dan pegawai tinggi syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

“Saya turut berbesar hati menyumbang gaji saya sebanyak sebulan gaji sebagai permulaan kepada usaha ini.”


Pengarang :