AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.0400/0450 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini di celah-celah pengukuhan harga minyak mentah.

Pada jam 9.07 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0400/0450 berbanding dolar AS daripada 4.0405/0445 ketika ditutup pada urus niaga Khamis.

Ketua Pemasaran Global Axi Stephen Innes berkata selain itu, kenyataan Rizab Persekutuan yang memberangsangkan serta pemulihan ekonomi yang disokong oleh sektor ekonomi tempatan yang muncul daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seharusnya mampu mengekalkan kedudukan ringgit walaupun minat terhadap mata wang Asia masih lagi lemah disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Pertumbuhan lemah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2020 sememangnya sudah dijangkakan tetapi pasaran terus melihat data yang lepas sambil mengunjurkan kepesatan yang lebih besar pada suku pertama dan kedua apabila ekonomi dibuka semula daripada PKP.

“Harga minyak yang tinggi memberikan kelebihan kepada kedudukan fiskal Malaysia iaitu pada US$60 setong berbanding anggaran belanjawan kerajaan untuk tahun 2021 iaitu antara US$45-55.

KDNK Malaysia menguncup 5.6 peratus pada 2020, menyusut 3.4 peratus berbanding suku keempat.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI), masing-masing tinggi pada US$63.32 dan US$60.58 setong. Baru-baru ini Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) telah menaikkan unjurannya untuk harga minyak mentah WTI dan Brent bagi tahun 2021 dan 2022.

EIA telah meningkatkan unjuran harga mentah WTI untuk tahun 2021 dan 2022, masing-masing kepada US$50.21 setong dan U$51.56 setong manakala untuk Brent pula, unjuran untuk tahun 2021 dan 2022 ialah pada U$53.20 dan U$55.19 setong.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.8447/8505 daripada 3.8602/8644 pada penutupan Khamis dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8965/9038 daripada 4.9003/9068 sebelumnya.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0491/0540 daripada 3.0499/0531 tetapi rendah berbanding pound Britain kepada 5.6051/6124 daripada 5.5896/5964 sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :