Pengusaha taksa, tadika dan pusat jagaan harian diminta memastikan kebersihan premis bagi membendung penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

RM1 juta agih makanan berkhasiat, bantu kanak-kanak miskin bandar

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pengagihan makanan berkhasiat terhadap kumpulan sasaran secara lebih strategik tahun ini.

Justeru, Belanjawan Selangor 2021 menyediakan peruntukan RM1 juta bagi program Bank Makanan Kanak-Kanak, tambahan kepada program sedia ada yang menerima dana RM5 juta.

Mengikut laporan United Nations Sustainable Development Goals (SDG) 2019, seorang daripada sembilan orang mengalami masalah kekurangan khasiat makanan.

Bantuan itu penting berikutan dapatan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menunjukkan angka kritikal mengenai kanak-kanak yang kekurangan zat.

“Mereka ini termasuk yang terbantut dan kurus didapati berada di kawasan perumahan kos rendah,” kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Kajian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara mendapati 33 peratus kanak-kanak di situ mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan zat.

Justeru program itu memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan rendah kerana usia itu kritikal untuk kadar pertumbuhan mereka.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Kumpul data

Untuk menjayakan inisiatif tersebut, Dr Siti Mariah menjelaskan Kerajaan Negeri dalam fasa perincian manakala aspek teknikal termasuk pengagihan masih dalam perbincangan.

“Kita akan usahakan data lengkap untuk membolehkan pengagihan lebih tersusun sekali gus mengurangkan pembaziran sumber.

“Jika data dilengkapkan, kita dapat memastikan golongan sasaran mendapat bantuan, sebab itu penting kerjasama dari semua agensi yang bertanggungjawab,” katanya.

Kerjasama juga dijalankan Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan untuk mengenal pasti kawasan yang kanak-kanaknya berdepan masalah kekurangan zat.

Dr Siti Mariah menyatakan pihaknya akan menjalankan kerjasama dari semasa ke semasa dengan pihak kesihatan untuk melihat hasil program intervensi kerajaan ini. Kelangsungan program katanya, bakal dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ketika membentang belanjawan, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM5 juta yang memberi manfaat kepada 2,000 keluarga miskin bandar di negeri ini.

Jumlah itu meningkat RM1 juta untuk program Bank Makanan Kanak-Kanak.

Dato’ Seri Amirudin Shari antara lain menyatakan kekurangan dan ketidakseimbangan zat dalam kalangan kanak-kanak menjadi isu yang perlu diberi perhatian.

Selain Bank Makanan Kanak-Kanak, Selangor turut menyediakan program untuk membantu golongan miskin bandar antaranya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat, menubuhkan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Daerah dan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

 

 


Pengarang :