Pengunjung mengimbas QR kod serta memeriksa suhu badan sebelum memasuki tokong bagi mengikuti upacara sembahyang di Tokong Kau Ong Yah, Ampang ketika sambutan tahun baharu cina pada 12 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rumah ibadat bukan Islam dibenar operasi ketika PKP

PUTRAJAYA, 13 FEB: Rumah ibadat bukan Islam kini dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkuat kuasa 12 hingga 18 Feb, kata Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 Bilangan 14 Tahun 2021 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kementerian itu, pembukaan rumah ibadat bukan Islam tersebut tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP), iaitu bilangan kehadiran penganut tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa serta perlu menjalankan kerja sanitasi di premis selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti keagamaan atau sembahyang.

Selain itu, premis juga perlu menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan rekod di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang luas.

“Pengecualian imbasan kod MySejahtera yang hadir ke rumah ibadat bukan Islam diberikan kepada penganut yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai telefon pintar,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi tokong Buddha, Tao, wat Siam dan gereja, jadual waktu sembahyang bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Untuk kuil Hindu, sesi pertama dibuka bermula 6 hingga 10 pagi dan sesi kedua bermula 5 petang hingga 9 malam, manakala gurdwara bermula 6 hingga 9 pagi.

Kementerian itu menasihati semua penganut bukan Islam di seluruh negara mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh kuat kuasa berkenaan, bagi memastikan tiada penularan wabak dalam kalangan penganut dan bersama-sama membudayakan norma baharu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :