Orang ramai menunggu giliran untuk membuat pendaftaran sebelum melakukan saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan Komuniti Covid-19 percuma bantu keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 17 FEB: Saringan Komuniti percuma Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di Seksyen 19 hari ini membantu keluarga kurang berkemampuan dan menjimatkan kos.

Salah sebuah keluarga yang mengambil inisiatif berkenaan ialah Syed Mokhtar Syed Azhar, 40 yang turut membawa isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah.

Syed Mokhtar Syed Azhar dan keluarganya menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan itu gembira apabila saringan percuma berkenaan meringankan beban ketua keluarga sepertinya.

“Disebabkan bekerja sebagai pemandu Grab, setiap hari saya bertemu dengan pelbagai pelanggan tidak kira orang tempatan ataupun warga asing. Setiap kali pulang bertemu keluarga, hati saya jadi risau, mungkin saya juga sudah membawa virus.

“Apabila Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ada saringan percuma sebegini, saya terus ambil peluang bawa semua ahli keluarga dan buat saringan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu ibu berusia 32 tahun, Nur Azrida Mohamed Shaari bimbang apabila dirinya menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19, baru-baru ini.

Dia yang tinggal bersama tiga anak lelaki yang masih kecil itu berasa bimbang sekiranya dijangkiti wabak berkenaan.

“Jika saya jalani ujian saringan di klinik swasta, sudah tentu kos akan mencecah sehingga RM200 dan ke atas, sekiranya saya bawa kesemua anak-anak, mungkin harganya lebih dari RM1,000.

“Tetapi dengan saringan percuma yang ditawar Kerajaan Negeri ini, kami sekeluarga menarik nafas lega kerana dapat jimatkan wang dan boleh guna untuk keperluan lain,” katanya.

Wan Khairul Ajib menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi Wan Khairul Ajib, 38, dari Bandar Saujana Putra secara kebetulan membuat ujian saringan berkenaan selepas membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Seksyen 19.

“Anak saya yang berusia enam tahun membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan, kemudian doktor nasihatkan kami ke program saringan terbabit kerana anak saya selesema.

“Oleh sebab percuma, akhirnya kami sekeluarga gunakan peluang yang disediakan Kerajaan Negeri ini. Semoga program sedemikian diteruskan untuk membantu lebih ramai keluarga yang kurang mampu,” katanya.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenal saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes untuk tindakan susulan dan rawatan.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ujian itu diteruskan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang esok (18 Februari) pada waktu sama.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.


Pengarang :