Suasana di perkarangan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang pada program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar percuma pada 27 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan Komuniti: Hampir 4,000 sampel ujian RTK-Ag sejak 8 Feb

KLANG, 27 FEB: Hampir 4,000 sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) diambil menerusi beberapa siri program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri sejak 8 Februari lalu.

Koordinator Klinik Selcare Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata jumlah itu meliputi penduduk setempat, warga emas di 26 pusat penjagaan dan hemodialisis serta pekerja industri.

“Setakat ini, sambutan terhadap saringan bersasar dijalankan sekitar Shah Alam, Klang, Petaling Jaya termasuk Sabak Bernam pada tahap memuaskan.

Koordinator Program Saringan Komuniti Covid-19 Klinik Selcare, Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman

“Bagaimanapun, bilangan ini boleh dipertingkatkan lagi selaras mencapai sasaran 50,000 seperti ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui pada program saringan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Hadri berkata peranan pelbagai agensi penting dalam menyebarkan maklumat lebih awal berhubung program saringan bagi meningkatkan kepekaan masyarakat.

“Selain media arus perdana dan media sosial, wakil rakyat setempat juga perlu memberi info secara meluas dan mengelak daripada saat akhir,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung perebakan wabak.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Program saringan hari ini dijalankan serentak di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28, Shah Alam. Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.


Pengarang :