Penduduk sekitar Pelabuhan Klang menjalani saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna MPK, Pendamar Indah 2, Klang pada 27 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti percuma di Pendamar Indah hari ini

PELABUHAN KLANG, 27 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri diteruskan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini pagi ini.

Penduduk sekitar Taman Pendamar Indah, Bandar Botanik dan Bandar Puteri mula beratur pada kira-kira jam 10 pagi untuk menjalani saringan percuma menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Saringan dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan turut dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apam).

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri.

Tidak ketinggalan ialah kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan mahasiswa anak Selangor.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.


Pengarang :