Dato’ Seri Amirudin Shari mengupas perancangan ekonomi selepas wabak Covid-19 pada forum Ekonomi pascapandemik: Ke Mana Hala Tuju? yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook pada 23 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sedia semak semula belanjawan negeri, imbangi keadaan semasa

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri bersedia menyemak semula peruntukan belanjawan 2021 untuk mengimbangi situasi terkini rakyat yang terjejas berikutan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu mengambil kira jangkaan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu yang akan dilihat pada suku pertama tahun ini.

“Semua negeri sebenarnya perlu merujuk kembali fokus kita dalam belanjawan untuk mendepani cabaran pandemik. Industri tempatan juga perlu dibangunkan untuk menjamin kemampuan kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bercakap melalui forum bertajuk Ekonomi pascapandemik: Ke mana hala tuju? secara maya malam tadi, beliau berkata Kerajaan Negeri menumpukan usaha memperkasa industri tempatan bagi menampan kesan pandemik.

“Kita juga mewujudkan Gugusan Selangor di setiap daerah bagi memastikan negeri ini terus ke depan dan seimbang dalam semua perkara,” katanya.

Selangor mewujudkan sembilan gugusan utama ekonomi mengikut kesesuaian setiap daerah merangkumi industri teknologi tinggi, aeroangkasa dan automotif.

Selain itu, ia meliputi maritim, perkhidmatan, ekopelancongan, akuakultur, pertanian ekonomi bandar dan pendidikan.


Pengarang :