Guru Norazliza Che Soh memerhatikan murid prasekolah membasuh tangan sebelum memasuki kelas pada hari pertama persekolahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekolah dibuka mulai 1 Mac secara berperingkat

SHAH ALAM, 19 FEB: Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan dua.

Menteri kanan (pendidikan) berkata pelajar tahun tiga hingga enam pula akan mula hadir ke sekolah pada 8 Mac.

“Pelajar prasekolah, tahun satu dan dua lebih awal hadir bagi membiasakan mereka dengan SOP (tatacara operasi piawai) memandangkan tahun lalu kehadiran agak terhad.

“Jadi kementerian memutuskan mereka lebih awal selain memberi ruang kepada guru untuk bersedia dengan SOP serta mencari kaedah terbaik,” kata Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media hari ini.

Menurutnya pelajar sekolah menengah di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan hadir ke sekolah mulai 4 April manakala negeri lain pada esoknya.

Katanya, pelajar Sijil Vokasional Malaysia Tahun Satu dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu ditetapkan ke sekolah mulai 1 Mac.

“Pelajar tingkatan satu hingga lima akan ke sekolah selepas cuti pertengahan penggal yang bermula hujung Mac selain selepas peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia selesai.

“Jadual pembukaan sekolah swasta juga sama mengikut kategori. Semua terpakai untuk sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian,” katanya.


Pengarang :