Orang ramai yang membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sektor ekonomi beroperasi, guna SELangkah untuk manfaat semua

SHAH ALAM, 16 FEB: Orang ramai diminta memanfaatkan penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selaras pembukaan semula keseluruhan perniagaan dalam sektor peruncitan.

EXCO pembangunan usahawan berkata aplikasi dibangunkan Kerajaan Negeri melalui proses penambahbaikan itu menawarkan pelbagai kemudahan untuk memastikan penggunaannya kekal selamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita menyambut baik pembukaan semula lebih banyak sektor niaga namun aspek keselamatan harus dititikberatkan apabila masyarakat keluar berurusan dan diharap inovasi baharu SELangkah memberi kemudahan kepada petugas barisan hadapan menjejaki mereka bergejala,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini semalam.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga menyeru masyarakat termasuk pengusaha premis niaga terus berwaspada bagi mengelak penularan wabak lebih serius.

“Sekiranya tiada pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) dibimbangi akan berlaku perebakan seperti sebelum ini daripada ratusan kepada ribuan kes yang akhirnya sukar dikawal seterusnya memberi kesan negatif bukan sahaja kesihatan malah ekonomi,” katanya.

Aplikasi SELangkah menerima beberapa naik taraf antaranya pengimbas dwi-sistem, pendaftaran masuk (check-in) menggunakan sistem GPS, paparan sejarah imbasan dan buletin berkaitan Covid-19.

Sebelum ini aplikasi itu hanya menawarkan fungsi mengesan premis yang terjejas, semakan risiko pendedahan, trend pengunjung dan log pengunjung.

Kerajaan bersetuju membuka lebih banyak sektor ekonomi selepas mengambil kira penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia namun pengoperasian semula perlu dijalankan dengan SOP ketat.


Pengarang :