Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ketika berada di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

SELangkah kawal gelombang kedua, pilihan pakar kesihatan

SHAH ALAM, 6 FEB: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membantu mengawal gelombang kedua Covid-19 di Selangor tetapi kejayaannya “tidak panjang” berikutan keengganan kerajaan persekutuan berkongsi data.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes positif kekal pada paras rendah sejak SELangkah digunakan antara 3 Mei dan pertengahan Ogos.

“Melalui data, STFC dapat kenal pasti daerah berisiko dengan segera. Bagaimanapun kejayaan tidak panjang ekoran arahan kerajaan mewajibkan MySejahtera digunakan semua pihak,” katanya di Facebook hari ini.

Hantaran itu susukan artikel ‘Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat’ terbitan sebuah portal berita pada 3 Februari lalu.

Dr Dzulkefly berkata STFC sejak itu bergantung kepada data lapuk mengakibatkan usaha memerangi virus seperti “teraba-raba di dalam bilik yang gelap atau bertinju dengan mata kami ditutup”.

Bekas menteri kesihatan itu berkata kelemahan sistem penjejakan kontak rapat MySejahtera yang mengambil masa terlalu lama antara punca tunggakan kes baru-baru ini.

“Pakar dan kakitangan kesihatan awam turut mengakui lebih cenderung menggunakan SELangkah untuk pengawalan wabak, namun mereka tiada pilihan, hanya menggunakan data mentah sebagai rujukan menjejak kontak,” katanya.


Pengarang :