Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

SELangkah perkenal ciri baharu, kini boleh imbas MySejahtera

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Selangor hari ini memperkenalkan empat ciri baharu Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi melindungi keselamatan pengguna susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan ciri baharu meliputi imbasan dwisistem, daftar masuk menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS), sejarah imbasan dan paparan buletin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aplikasi yang dilancar pada 5 Mei tahun lalu memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“SELangkah menjadi penanda aras terbaik bagi kehidupan norma baharu. Ia bukan sekadar sistem penjejakan kontak sahaja, sebaliknya menawarkan kemudahan untuk memastikan pengguna selamat sambil melakukan aktiviti sejak PKP pertama,” katanya.

Beliau yang menerangkan aplikasi itu secara maya menambah SELangkah ketika ini boleh mengesan peta premis terjejas, semakan risiko pendedahan dan trend serta log pengunjung.

Jelas Amirudin, sistem itu turut membangunkan portal saringan komuniti dengan pengguna boleh mendaftar dan mendapatkan keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh dua jam secara digital.

Berikut penerangan lanjut ciri-ciri baharu SELangkah:

• Imbasan dwisistem: Kamera pengimbas aplikasi boleh mengimbas kedua-dua kod QR SELangkah dan MySejahtera

• Tanda/kesan GPS: Daftar masuk menggunakan GPS di telefon tanpa perlu mengimbas kod QR

• Log imbasan kod QR: Pengguna boleh menyemak sejarah pendaftaran masuk mereka

• Paparan buletin: Memaparkan notis pengumuman terkini daripada kerajaan berhubung perkembangan semasa Covid-19


Pengarang :