Selangorkini
Pemain Selangor gigih menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bermula 5 Mac 2021. Foto Facebook SELANGOR FC
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Selangor atur aksi persahabatan, perkukuh pasukan untuk Liga-M

SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor FC akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan untuk memastikan pemain tampil lebih mantap pada kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bermula 5 Mac ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pasukan Gergasi Merah itu bakal beraksi menentang Polis Diraja Malaysia pada 20 Februari, PJ City (24 Februari) dan Kuala Lumpur (27 Februari).

“Tiga perlawanan persahabatan ini amat penting untuk mengukur tahap fizikal dan mental semua pemain selepas agak lama tidak berlatih bersama.

“Selain kita perlu manfaatkan sepenuhnya tempoh latihan singkat diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengukur kesefahaman dan kesesuaian corak permainan pasukan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon kepada SelangorKini hari ini.

Pada 9 Februari Menteri Kanan (Keselamatan) mengumumkan kebenaran kepada pasukan menjalankan latihan berpusat atau secara kuarantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran tersebut melibatkan sesi latihan pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).


Pengarang :