Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amiruddin Shari menerangkan strategi dan rencana negeri Selangor dalam menangani COVID-19 menerusi suatu program bual bicara di Facebook Live Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 4 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor laksana saringan pekerja kilang walaupun bidang kuasa terhad

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Selangor terus fokus untuk melaksanakan saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang di negeri ini walaupun bidang kuasanya terhad.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu terpaksa diambil ekoran jumlah pekerja yang positif semakin meningkat dan menyumbang kepada kes harian kebelakangan ini.

“Sebenarnya situasi yang berlaku ketika ini kerana kita tidak mengambil pengajaran dari Singapura ketika mereka berdepan gelombang kedua iaitu kes positif meningkat berpunca dari pekerja kilang.

“Oleh sebab itu, kali ini kita fokuskan untuk jalankan saringan di kilang. Walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri agak terhad kerana kilang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia, namun kita tetap akan selaraskan program saringan ini dengan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Saringan ini dilakukan kerana kita boleh asingkan antara pekerja yang sihat dan yang dijangkiti, sekali gus mengelakkan perebakan wabak berlaku,” katanya ketika program Bicara Covid-19 dan Kesiapsiagaan Negeri menerusi siaran langsung di Facebook.

Turut sama dalam program anjuran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Amirudin menambah pihaknya mahu segera menangani peningkatan kes di kilang berikutan lokasi berkenaan menjadi ledakan besar-besaran kes wabak.

“Ini kerana ada tempat tinggal pekerja ini menyedihkan dan tidak mengikut piawaian antarabangsa.

“Bukan itu saja, peningkatan juga berlaku berpunca daripada kes tertunggak kumulatif yang tidak dilaporkan secara terus,” katanya.


Pengarang :