Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan cek cura Bantuan Bakul Makanan berjumlah RM4.35 juta kepada Bingkisan Mesra Sdn Bhd (BMSB), Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dan Yayasan Food Bank Malaysia (YBFM) di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor runding terus dengan syarikat pengeluar vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan Negeri akan berunding terus dengan syarikat pengeluar vaksin Covid-19 tanpa orang tengah bagi mendapatkan bekalan.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini pihaknya belum memutuskan pemilihan syarikat pengeluar untuk membekalkan vaksin Covid-19 kepada rakyat Selangor.

“Perkembangan lanjut berhubung pemilihan syarikat pengeluar vaksin akan dimaklumkan kemudian, kita kena lihat semua aspek sebelum buat keputusan.

“Usaha mendapatkan bekalan vaksin juga untuk melindungi komuniti dan sektor ekonomi di Selangor,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Dana Bantuan Bakul Makanan di Kediaman Rasmi Menteri Besar hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovas, Khairy Jamaluddin pada minggu depan berhubung jumlah bekalan vaksin yang bakal diagihkan kepada Selangor.

Pada 11 Januari, Amirudin memaklumkan Selangor bercadang membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung perebakan Covid-19 dalam kalangan penduduk tempatan dan asing.

Program pemberian vaksin Selangor membantu Kerajaan Persekutuan mempercepat proses suntikan untuk meningkatkan imuniti rakyat.

Langkah tersebut disambut baik Kementerian Kesihatan yang dilihat mampu mengurangkan beban kerajaan untuk membekalkan vaksin.


Pengarang :