Rodziah Ismail melawat keluarga Koo Yok Kion di Kampung Baru Ampang pada 20 Februari 2021. Foto Facebook Rodziah
EXCOSELANGOR

Selangor salur dana tambahan, baik pulih rumah pembantu dapur

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan Negeri sedia menyalurkan dana tambahan bagi menampung kos pembinaan semula rumah sebuah keluarga yang usang di Kampung Baru Ampang.

EXCO kesejahteraan bandar berkata peruntukan RM20,000 akan dibiayai melalui penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Rodziah Ismail memaklumkan bantuan itu sebagai menyokong keprihatinan seorang anak muda yang menggerakkan kutipan dana bagi membantu keluarga Koo Yok Kion dengan jumlah terkumpul RM65,000 setakat ini.

“Jika masih ada ketidakcukupan, kita akan cuba usahakan sedikit dana kerana yang penting mahu memastikan pembinaan rumah ini disempurnakan dalam kadar segera.

“Beliau (anak muda) mencadangkan supaya rumah berkeluasan 4,000 kaki per segi ini dibaik pulih secara dua fasa melibatkan bahagian depan dan belakang,” katanya kepada SelangorKini.

Wakil rakyat Batu Tiga berkata pihaknya juga meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) supaya memudahkan urusan permohonan permit pembinaan semula rumah terbabit.

Menurut Rodziah, ketua kampung pula dicadang melihat keperluan lain termasuk kebajikan dan kesihatan keluarga berkenaan.

“Ketua kampung juga sudah menguruskan penempatan sementara keluarga tersebut ke rumah majikan Yok Kion yang bekerja sebagai pembantu dapur.

“Diharap tiada pihak yang ambil kesempatan dan memanipulasi isu ini memandangkan keluarga berkenaan wajar dibantu,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Rodziah melawat Yok Kion susulan terdapat aduan mendakwa wanita itu bersama suaminya, Chin Kim Choy, 63, dan anak lelaki Chin Kok Ming, 13, mendiami rumah yang hampir runtuh selain berbumbungkan zink berkarat.

Kim Choy yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kayu terpaksa meninggalkan pekerjaan itu selepas diserang angin ahmar tiga tahun lalu.


Pengarang :