Selangorkini
Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
EXCO SELANGOR

Selangor sedia bantu golongan terpinggir dapat vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan Selangor sedia membantu golongan terpinggir seperti pelarian menerima suntikan vaksin Covid-19, kata EXCO kesihatan.

Namun Dr Siti Mariah Mahmud berkata bantuan itu akan dihulurkan selepas kesemua penduduk di negeri ini menerima perlindungan berkenaan.

Jelasnya, golongan dibawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu juga perlu diberi perhatian ekoran mereka berada secara bebas dalam komuniti.

Dr Siti Mariah meninjau Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang pada 18 Februari 2021. Foto: Facebook Siti Mariah

“Jika kita tak berbuat apa-apa terhadap mereka, kemungkinan besar jangkitan Covid-19 boleh kembali merebak dalam komuniti.

“Namun pertimbangan itu akan dilakukan selepas rakyat kita menerima vaksin terlebih dahulu,” katanya selepas Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri juga akan memantau pemberian vaksin terhadap pekerja dari sektor kilang dan pembinaan.

Menurutnya, sektor berkenaan mempunyai jumlah pekerja yang ramai di negeri ini berikutan ia antara penyumbang tertinggi sektor ekonomi.

“Disebabkan itu, apabila berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka, jumlah perebakan adalah lebih cepat dan tinggi.

“Namun pemberian vaksin ini bukan percuma, sebaliknya jika ia membabitkan warga asing, majikan perlu membayar,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Kerajaan Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha itu disambut baik Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasrat kerajaan negeri itu bagi meringankan beban Kerajaan Persekutuan dalam urusan pembelian vaksin.


Pengarang :