EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim (dua, kanan) menyerahkan plak kepada petani sebagai simbolik sumbangan baja kompos di pasar lama pekan Beranang pada 25 Februari 2021. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor tambah edaran baja kompos percuma kepada petani

HULU LANGAT, 25 FEB: Baja kompos percuma untuk petani di Selangor ditambah kepada 500 tan pada tahun ini, berbanding 200 tan sebelum ini, kata EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani.

Menurutnya, tambahan edaran dilakukan selepas pihaknya mendapati baja yang bersifat lebih mesra alam itu terbukti menghasilkan tanaman lebih berkualiti.

“Sebelum ini kita sudah serahkan baja kompos keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu kepada petani di Tanjung Karang, dan hasilnya amat baik.

“Pada masa sama, penggunaan baja daripada najis ayam itu boleh digunakan untuk semua jenis tanaman termasuk durian, nenas dan cili,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan 6,400 kilogram (kg) baja kompos percuma kepada petani di pasar lama Pekan Beranang, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Izham berkata seramai 40 petani di Hulu Langat akan menerima bantuan berkenaan membabitkan pertanian berskala kecil dan besar.

“Disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita akan hantar baja ini terus ke rumah atau ke ladang penerima.

“Selepas Hulu Langat, bantuan ini akan bergerak ke daerah lain dan sasaran kita adalah supaya lebih ramai petani di Selangor mendapat manfaatnya,” katanya.

 


Pengarang :