Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian Covid-19 terhadap seorang kanak-kanak ketika Saringan Bersasar Komuniti di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare sedia mainan untuk kanak-kanak jalani saringan

PETALING JAYA, 22 FEB: Selcare menyediakan barang permainan untuk kanak-kanak yang menjalani saringan bersasar Covid-19 bagi mengelak mereka berasa takut.

Pengurus Operasi Mohd Noor Md Nasir berkata inisiatif berkenaan dilihat berkesan sekali gus memudahkan petugas melakukan ujian tersebut.

“Kita sudah lalui pengalaman berdepan kanak-kanak. Ada yang menangis sebab takut dan kita cari jalan untuk atasi.

“Jadi sebelum atau sedang disaring kita beri mainan untuk alih perhatian mereka. Mainan boleh terus dibawa balik,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya semalam.

Menurutnya, antara 30 hingga 50 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menjalani saringan di lokasi keempat Saringan Komuniti Covid-19 itu.

Keseluruhan, katanya, seramai 532 individu disaring termasuk petugas barisan hadapan dari jam 9 pagi hingga 4 petang semalam.

“Kita minta penduduk mengambil peluang ini sekiranya kawasan mereka mengadakan saringan bersasar kerana ia sangat bermanfaat dan diberikan percuma,” katanya.


Pengarang :