Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth bercakap kepada media ketika operasi saringan Covid-19 besar-besaran di kawasan zon merah seluruh Selangor pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selgate lapor kes Covid-19 setiap hari, setuju kompaun pihak ingkar

SHAH ALAM, 2 FEB: Lewat melaporkan keputusan saringan Covid-19 menyukarkan pihak berwajib mengesan jumlah sebenar jangkitan wabak dalam negara.

Justeru, ketua pegawai eksekutif Selgate Corporation (Selgate) setuju klinik dan hospital swasta yang lewat melaporkan keputusan saringan Covid-19 dikenakan kompaun.

“Kami (Selgate) memang melaporkan kes harian setiap hari menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka).

“Menjadi tanggungjawab pengamal perubatan seperti kami buat laporan ini dan saya akan pastikan di peringkat Selgate laporan dihantar setiap hari,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth ketika dihubungi.

Pada 30 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari sama.

Keputusan bersama dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 Selangor kelmarin.

KKM berkata peningkatan mendadak kes pandemik melebihi 5,000 beberapa hari lalu disebabkan kelewatan kes dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) termasuk jangkitan tahun lalu.

Jangkitan Covid-19 kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut iaitu 5,298 kes pada Ahad, Sabtu (5,728) dan Jumaat (5,725).


Pengarang :