Ng Sze Han (tengah) melawat pustakaan mini ketika lawatan dan pelancaran Kampung Bagan Hailam, Perlabuhan Klang yang telah berwajah baharu pada 17 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Semangat kerjasama penduduk Kampung Bagan Hailam wajar dicontohi

PELABUHAN KLANG, 18 FEB: Semangat kerjasama penduduk Kampung Bagan Hailam membersihkan kawasan kampung wajar dijadikan contoh kampung lain, kata pegawai perhubungan perkampungan daerah Klang.

Ini kerana, Tony Cheong Siew Thong berkata hasil usaha sama penduduk itu berjaya mengubah kampung ‘sampah’ kepada persekitaran baharu yang lebih bersih.

“Dua tahun lalu tempat ini dipenuhi sampah, amat menakutkan dan busuk. Tetapi hasil bantuan Kerajaan Negeri dan inisiatif penduduk kini menjadikan kampung atas air itu berwajah baharu.

Pegawai Perhubungan Perkampungan Daerah Klang Dan Petaling, Tony Cheong Siew Thong bercakap kepada media selepas lawatan dan pelancaran Kampung Bagan Hailam, Perlabuhan Klang yang telah berwajah baharu pada 17 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya harap penduduk kampung lain juga mempunyai kesedaran dan mengubah tabiat daripada membuang sampah merata-rata dan berusaha mengindahkan penempatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas lawatan EXCO Pembangunan Kampung Baharu Ng Sze Han ke Kampung Bagan Hailam di sini, semalam.

Kampung itu dijadikan sebagai projek perintis kampung atas air pertama yang diberi nafas baharu menerusi program ‘Breath New Life’ dengan anggaran kira-kira RM30,000 hasil bantuan Kerajaan Negeri dan usaha sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.


Pengarang :