Bangunan Parlimen Malaysia. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Serahkan mandat ‘pada yang sepatutnya’, PAKATAN tolak pilihan raya segera

SHAH ALAM, 5 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal menolak pilihan raya dilaksanakan ketika ini, namun menggesa supaya Kerajaan Perikatan Nasional mengembalikan semula mandat pada kadar segera.

Majlis Setiausaha berkata desakan itu dibuat kerana mandat diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu masih sah sehingga 2023.

“Majlis Presiden turut mempertikai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya. Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik Covid-19 dan ekonomi.

“Maka kami kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan. Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (AMANAH) dan Loke Siew Fook (DAP).

Pada 12 Januari lalu, perdana menteri berkata sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) tidak akan dilaksanakan.

Muhyiddin pada perutusan khas semalam berkata PRU hanya diadakan selepas Covid-19 reda.


Pengarang :