AGENSISELANGOR

Sesi belajar bersemuka Kuis bermula 1 Mac

SHAH ALAM, 17 FEB: Kira-kira 500 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bakal memulakan sesi pembelajaran secara fizikal mulai 1 Mac ini.

Rektornya berkata kemasukan pelajar ke kolej dilaksana secara berperingkat merangkumi enam kategori seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Buat masa ini kita beri laluan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak yang akan masuk kolej pada 20 Februari ini. Mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin yang pihak Kuis sediakan.

“Selepas itu diikuti pelajar dari Semenanjung. Bagaimanapun pelajar yang tidak termasuk dalam enam kategori kekal menjalani pengajaran dan pembelajaran dalam talian,” kata Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri kepada SelangorKini.

Enam kategori pelajar merangkumi:

1. Pelajar program pengajian Sijil, Diploma, Ijazah, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan latihan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas

2. Pelajar yang tidak mempunyai akses internet

3. Pelajar Asasi atau setara serta Diploma sedia ada di kampus

4. Pelajar antarabangsa sedia ada kecuali dari United Kingdom

5. Pelajar berkeperluan khas (OKU)

6. Pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (Muet)


Pengarang :