Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim bercakap kepada media selepas tamat sesi perbahasan sidang DNS, Shah Alam pada 11 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sidang DNS pada 22 Mac depan ditangguh – speaker

SHAH ALAM, 19 FEB: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual pada 22 Mac depan terpaksa ditangguh susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan darurat, kata speakernya.

Namun Ng Suee Lim tidak dapat menjangka bila persidangan DNS kali ke 14 itu akan kembali dilaksanakan.

“Kita terpaksa akur bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibenarkan bersidang, namun sebagai negara demokrasi berparlimen, jika ia terus digantung, fungsi legislatifnya akan lumpuh.

“Kerana Parlimen dan DUN adalah tempat untuk semak dan imbang bagi memantau kerajaan serta memastikan ketelusannya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan memaklumkan sekiranya DNS kembali bersidang, ujian saringan Covid-19 dan tatacara operai piawai (SOP) akan terus dilaksanakan.

“Semua individu yang terlibat akan tetap disaring kecuali mereka yang sudah divaksin.

“Bagi SOP pula, kita akan mengekalkannya kerana ia berkesan mengurangkan penyebaran wabak Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.


Pengarang :