Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media sempena pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sistem POIS mampu kurangkan jangkitan Covid-19 sehingga 50 peratus

SHAH ALAM, 22 FEB: Kadar jangkitan Covid-19 membabitkan sektor perkilangan negeri ini dijangka berkurang sehingga 50 peratus jika majikan mengambil inisiatif pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem diperkenal Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) mampu mengenal pasti kes positif selain memastikan operasi kilang terus berjalan.

“Sekarang antara pusat jangkitan di Selangor adalah dari kawasan perindustrian iaitu kira-kira 70 hingga 80 peratus. Jadi, kalau kilang dapat ikut sistem ini, saya yakin kes di tempat kerja boleh dikurangkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat wakil pengurusan kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“POIS diatur dan disusun bagaimana untuk tangani (jangkitan) daripada segi sistem dan bukan kita datang untuk hentikan operasi selepas perkara itu berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program POIS di kilang Nestle, Seksyen 15 di sini hari ini yang turut disertai EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri belum mewajibkan semua majikan mendaftar sistem tersebut namun sedia meneliti kesesuaian untuk berbuat demikian.

“Ia melibatkan banyak perkara seperti pelesenan dan kebenaran beroperasi. Jadi, buat masa ini ia lebih kepada proses sukarela dan mungkin kita akan cuba selaras dan sebatikan dengan yang ada,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 6 Januari lalu, STFC melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Selain itu, platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan ujian saringan.


Pengarang :