AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sistem urus harta pusaka dalam talian mudahkan pengguna

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjadi agensi keagamaan negeri yang pertama melancarkan sistem pengurusan harta pusaka secara dalam talian.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata e-Faraid merupakan sistem digital merangkumi aspek pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid, sistem pemfailan serta laporan pengurusan pengawai.

Menurutnya, melalui sistem ini pihaknya dapat menjalankan tanggungjawb menguruskan harta pusaka lebih telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris.

“Sistem ini akan memudahkan pengguna dan mereka boleh memilih perkhidmatan diperlukan sahaja.

“Selain bertindak pantas, sistem ini turut mendidik masyarakat berhubung kaedah pengiraan dan pembahagian harta apabila kita sediakan kalkukator pengiraan faraid (K-Faraid),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu,Pengerusi Mais Tan Sei Abdul Aziz Mohd Yusof merasmikan pelancaran sistem itu melalui Perutusan Pengerusi Mais 2021 secara dalam talian.

Ahmad Shahir berkata pihaknya sentiasa komited memberi perkhidmatan terbaik selain menjadi tempat rujukan utama umat Islam dalam urusan pentadbiran harta pusaka.

“Sistem ini boleh digunakan mulai hari ini di laman sesawang http://efaraid.mais.gov.my/. Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-55143773/3772,” katanya.


Pengarang :