AGENSISELANGOR

SPM ketika pandemik, Yayasan Selangor pantau keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 20 FEB: Yayasan Selangor memantau tahap kesihatan dan keselamatan pelajar tajaannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai Isnin.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata perkara itu dititikberat bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran dan persediaan pelajar menghadapi SPM, namun kita berusaha sebaiknya membantu mereka termasuk aspek kerohanian.

“Kita berharap pelajar kekal fokus di sebalik cabaran yang mendatang dan mendoakan mereka terus cekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 779 pelajar tajaan Yayasan Selangor dari 60 sekolah seluruh negeri dan Kuala Lumpur bakal menduduki SPM bermula 22 Februari.

Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut berlangsung pada tarikh sama manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 8 Mac.


Pengarang :