Petugas Kesihatan Selcare melakukan analisis sampel ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Melati, Shah Alam pada 20 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

STFC bantu Selangor depani Covid-19 lebih cekap

SHAH ALAM, 23 FEB: Kemampuan Kerajaan Negeri berdepan pandemik dibantu kecekapan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Dato’ Menteri Besar berkata agensi itu menyaran pendekatan jangka panjang meliputi pengesanan kontak, saringan besar-besaran selain menitikberatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Antara yang perlu dilakukan ialah mengubah sikap mengenai membasuh tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal, memberi maklumat pengesanan kontak dan sebagainya.

“Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (pengerusi STFC) sejak awal menyebut supaya meletakkan masyarakat sebagai asas untuk merangka tindakan atau pendekatan digunakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui wawancara dalam edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19.

Kita Selangor, majalah terbitan Pejabat Dato’ Menteri Besar, merakam detik-detik awal Kerajaan Negeri berdepan wabak Covid-19 dan perkembangannya sehingga Oktober tahun lalu.

Majalah setebal 64 halaman ini merekod detik penting, personaliti utama dan contoh program yang dijayakan sepanjang tempoh tersebut. Ia diedarkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) wakil rakyat, pusat kesihatan, jabatan kerajaan dan orang ramai mulai minggu ini.

Sebelum ini, STFC turut melancarkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengesan kes Covid-19 tanpa menghentikan operasi kilang sekali gus mengurangkan kluster tempat
kerja.

 


Pengarang :