Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki pejabat di Bangunan SUK Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

STFC tumpu tamatkan kluster Covid-19

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) merangka pelbagai strategi bagi membendung wabak Covid-19 di negeri ini.

Mengikut ketua portfolio epidemiologi digital dan analitik STFC, ketika gelombang pertama bermula akhir Januari tahun lalu dan kedua mulai 27 Februari tahun lalu melanda, pendekatan bersifat kawalan dan menjurus ke arah sifar kes.

Namun, Dr Helmi Zakaria berkata pendekatan berbeza diambil dalam mendepani gelombang ketiga kerana dimensinya berbeza berikutan peningkatan kes berlaku mendadak.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah menjawab pertanyaan moderator dalam program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Tidak seperti gelombang pertama dan kedua, majoriti penduduk Selangor berhenti menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan bertukar kepada MySejahtera susulan kerajaan persekutuan mewajibkannya.

Ini mengakibatkan kaedah kawalan tidak dapat diteruskan kerana STFC tidak lagi memiliki data terkini untuk dianalisis. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula tidak berkongsi maklumat.

“Kami cuba berbincang dengan KKM untuk bantu kesan kes, namun ditolak dengan alasan mereka boleh menguruskannya,” katanya kepada SelangorKini.

Data pergerakan SELangkah juga menunjukkan pengurangan drastik sejak 2 Oktober 2020 apabila aplikasi MySejahtera diwajibkan di seluruh negara mulai 18 Ogos.

Peningkatan kes pula berlaku ketara berbanding Julai hingga September 2020 apabila kes meningkat mulai 1 Oktober hingga mencecah lebih 3,000 kes sehari.

“Kajian STFC menunjukkan kes Covid-19 mula meningkat ketika orang ramai tidak lagi menggunakan SELangkah.

Petugas mencatat data penting yang dibincangkan pada dinding kaca sebelum data tersebut direkodkan secara formal di Pusat Operasi SELangkah, Kuala Lumpur pada 16 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Ketika itu, tiada langkah kawalan dapat dijalankan kerana tidak ada punca data pengguna manakala data lokasi pesakit pula tidak lagi disalur KKM sejak 2 Oktober tahun lalu,” kata Dr Mohd Helmi.

Justeru, STFC merangka strategi mitigasi atau pengurangan bagi mengawal secara meluas kes Covid-19 daripada terus merebak menggunakan kaedah yang sesuai dengan keadaan semasa, menggantikan kaedah kawalan.

Pendekatan STFC kali ini berkonsep ‘Saringan Luas, Saringan Awal’ bermaksud saringan komuniti secara bersiri termasuk program saringan di kilang dan tempat kerja melalui POIS (Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas).

Kekerapan saringan menyebabkan kes positif Selangor melonjak dan dijangka berlarutan hingga pertengahan bulan. Namun, ia dalam jangkaan STFC. Pendek kata, lebih banyak, lebih luas saringan, lebih baik untuk negeri meskipun angka harian melonjak untuk tempoh tertentu.

Situasi itu lebih baik berbanding negeri lain yang mencatat peningkatan kes mendadak tanpa saringan luas dan awal seperti Selangor. Umpamanya, Perak yang merekod 1,215 kes positif pada 21 Februari.

Untuk menjayakan strategi mitigasi, STFC menggariskan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dipenuhi iaitu:

Kurangkan kes sporadik

Hentikan kluster dalam dua generasi

Mengurangkan kematian

Untuk mengurangkan kes sporadik atau kes positif tanpa dikait dengan mana-mana kluster, STFC sedaya upaya menurunkan kadarnya. Ini penting supaya kes sebegini tidak pula mewujudkan kluster baharu.

Mengikut statistik terkini STFC, kes sporadik, lazimnya membabitkan individu yang sakit di rumah dan rela hati ke klinik atau hospital untuk rawatan, turun selepas saringan meluas dijalankan sejak 30 Januari.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi kluster sedia ada pula, STFC juga berusaha memastikan jangkitan tidak melangkaui dua generasi melalui Saringan Komuniti atau POIS. Seterusnya, kluster itu dapat ditamatkan seawal mungkin.

“Sebanyak 69 daripada 98 kluster utama dapat ditamatkan dengan awal dalam tempoh tidak melebihi purata jangka hayat dua generasi (iaitu 43 hari) bagi semua kluster yang melibatkan Selangor,” kata Dr Helmi.

Beliau merujuk enam daripada tujuh kluster utama iaitu Sungai Redan, Jalan Datuk, Pasar Jalan Sentosa, Tapak Binaan Hevea, Rantau Cempaka dan Taman Tasik Sungai Chua.

“Satu lagi kluster utama iaitu Bah Manggis masih perlu diurus dengan rapi kerana ia bermula semasa ‘data blackout’,” katanya.

Dr Helmi menjelaskan Kerajaan Negeri bertujuan menyelamatkan banyak nyawa melalui kekerapan saringan dan POIS walaupun angka harian mencatat peningkatan kes.

“Sebagai contoh, saringan di sebuah kilang besar yang mempunyai 1,000 pekerja termasuk pekerja asing. Dan 100 pekerja didapati sakit sebelum disahkan positif Covid-19, maka kita akan saring 900 lagi untuk hentikan keluk kes dalam dua generasi.

Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove di Meru Klang pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA

“Kemudian kita buat saringan komuniti di kawasan perumahan berdekatan kilang itu dan berkemungkinan ada dalam kalangan penduduk tidak tahu mereka terdedah. Selepas saringan, kita hantar ke pusat kuarantin untuk dipantau doktor. Lebih awal didiagnosis lebih tinggi kebarangkalian pulih dari jangkitan teruk dan elak kematian.

“Biar nombor harian tinggi asalkan kes sporadik rendah, kluster tamat awal dan kadar kematian rendah,” kata Dr Helmi.

Beliau turut mengajak orang ramai kembali menggunakan aplikasi SELangkah yang kini ditambah baik termasuk boleh mengimbas kod QR MySejahtera.


Pengarang :