Dr Siti Mariah Mahmud
RENCANAWAWANCARA

Strategi atasi gelombang ketiga Covid-19

Sebagai negeri berkepadatan tinggi termasuk ramai pekerja asing, kes harian Covid-19 di Selangor kerap muncul tertinggi di negara ini.

Namun, pelbagai perancangan dan pelaksanaan rancak dijalankan secara tersusun bagi membendung wabak tersebut.

Wartawan Afix Redzuan menemu bual EXCO Kesihatan Awam Dr Mariah Mahmud secara bertulis bagi menghurai perkembangan semasa.

Apakah strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk bendung Covid-19?

Strategi Kerajaan Negeri untuk jangka masa pendek adalah mengenal pasti lokasi-lokasi yang berisiko tinggi penularan wabak Covid-19.

Lokasi tersebut ditentukan menggunakan kaedah kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang memberi pemetaan risiko (risk mapping) untuk mengenal pasti di mana kawasan berisiko tinggi Covid-19 seterusnya membenarkan Kerajaan Negeri melaksanakan saringan komuniti bersasar di kawasan tersebut.

Ini akan memberi Kerajaan Negeri keupayaan untuk mengasingkan individu-individu yang didapati positif. Justeru dengan mengasingkan mereka, penularan wabak akan dapat dikawal.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi strategi jangka panjang, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkasa aktiviti kesihatan awam menerusi program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) yang melibatkan industri-industri dalam Selangor untuk mengelakkan penularan wabak sebelum ia tercetus.

Bagi program ini, ia juga memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, justeru ia memberikan dampak kepada ekonomi negeri dan penduduknya.

Matlamat utama yang lain ialah berkenaan program imunisasi iaitu Kerajaaan Negeri mengambil inisiatif untuk menjamin akses kepada vaksin Covid-19 yang dikhusus kepada industri-industri di Selangor dan penduduk berpendapatan rendah (B40), Inisiatif ini selari dengan Program Imunisasi Nasional.

Selangor berjaya kawal perebakan gelombang pertama dan kedua tetapi ada anggap gelombang ketiga gagal dibendung? Mengapa ini berlaku?

Ramai yang masih kurang memahami tentang jumlah kes di negeri Selangor yang dilapor media dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seperti yang diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, lonjakan kes pada akhir Januari dan awal Februari disebabkan kelemahan dari sistem laporan dan pengesahan kes (system case reporting dan verification) oleh KKM sendiri.

Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki pejabat di Bangunan SUK Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jika kes-kes tersebut dikupas dan diteliti, kita dapat memahami bahawa lebih 75 peratus daripada kes tersebut berkaitan dengan tempat kerja dan industri. Sebab itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program POIS menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk membendung wabak tersebut.

Apa yang rakyat perlu memahami juga, kita harus bersyukur bahawa kes-kes di Selangor yang dilaporkan tinggi kerana ini mencerminkan pihak kesihatan sedang melaksanakan saringan bersasar dan mengasingkan kes-kes positif daripada merebak dalam kalangan masyarakat.

Lebih merisaukan bagi saya, jika kes dilapor terlampau rendah ia memberikan kita “a false sense of security” (rasa selamat yang palsu).

Apa pendekatan kawal perebakan di sektor perkilangan dan tempat kerja berikutan banyak kluster muncul di situ?

Program POIS dikhususkan untuk dilaksanakan industri bersama Kerajaan Negeri untuk memastikan pencegahan pembentukan kluster dalam sektor perindustrian.

Untuk makluman, kilang-kilang besar seperti Nestle mengambil langkah baik dengan mengamalkan POIS di tempat kerja.

Apa trend penularan dalam kalangan penduduk?

Trend penularan dalam kalangan penduduk adalah sporadic (sekali-sekala). Ini bermakna, ada kelemahan di dalam sistem mengenal pasti kontak rapat kes-kes positif. Sebab itu, kes-kes sporadic boleh berlaku.

Apa yang harus dikhususkan dan diutamakan adalah supaya rakyat Selangor untuk menggunakan aplikasi SELangkah untuk Kerajaan Negeri melaksanakan pengesanan kontak dengan lebih berkesan.

Apakah bentuk bantuan kepada penduduk berpendapatan rendah, petugas kesihatan dan sebagainya?

Seperti yang telah diumumkan Dato’ Seri Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif seperti program Peduli Sihat yang mensasarkan golongan B40, ibu tunggal dan golongan memerlukan ketika pandemik adalah contoh program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Bagaimana perkembangan inisiatif yang diumumkan dalam semua pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin dan Pakej Kita Selangor untuk sektor kesihatan Selangor?

Secara keseluruhan sejumlah RM73.87 juta diperuntuk untuk program kesihatan Selangor menerusi dua Pakej Rangsangan Selangor dan Pakej Kita Selangor. Setakat ini perkembangan yang baik, progresif dan proaktif.

Bagaimana pelan pelaksanaan taska untuk anak petugas hadapan? Berapa banyak akan ditambah jika Covid berlarutan?

Di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), sebanyak RM1 juta diperuntuk kepada taska anak petugas hadapan. Pertambahan taska akan dibuat mengikut keperluan semasa.

Apakah kriteria pemilihan vaksin dan bagaimana pelan pemberian dilakukan?

Petugas hadapan, warga emas, kumpulan yang berisiko dan fokus kepada pekerja-pekerja kilang serta industri.


Pengarang :