Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 selepas semua petugas hadapan menerima suntikan berkenaan. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan berkenan terima suntikan vaksin selepas petugas hadapan

SHAH ALAM, 26 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hanya berkenan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 selepas semua petugas hadapan menerimanya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keutamaan harus diberi kepada golongan berkenaan memandangkan mereka berdepan risiko jangkitan lebih tinggi.

“Sehingga semua petugas hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, baginda sendiri akan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor turut menasihatkan semua rakyat agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 seperti dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan dan tidak terpedaya dengan kumpulan antivaksin.

Selain itu, baginda juga mahu rakyat terus mengamalkan norma baharu meskipun telah mendapatkan vaksin sehingga pandemik Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya.

Terdahulu, baginda bertitah perbuatan menolak suntikan vaksin Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab dan dilarang hukum syarak.

Titah baginda, sikap berkenaan bukan sahaja memudaratkan diri sendiri bahkan seluruh masyarakat kerana sebahagian besar tidak  dilindungi vaksin.

 


Pengarang :