Masjid Diraja Sultan Suleiman di daerah Klang berunsurkan seni bina Islam Moorish dan Eropah menjadikan masjid ini antara yang paling unik di Selangor. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan seru hayati isi khutbah vaksin penting cegah mudarat

SHAH ALAM, 26 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru umat Islam negeri ini menghayati khutbah Jumaat berhubung kepentingan suntikan vaksin bagi mengawal penularan wabak.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah demikian merujuk khutbah Vaksin Covid-19: Mencegah Kemudaratan yang menjelaskan kesihatan adalah nikmat sangat bernilai dan berharga.

“Tanpa kesihatan yang baik, kita tidak mampu menjalankan tugas dan urusan harian dengan sempurna, justeru nikmat sihat hendaklah disyukuri dan dijaga sebaiknya supaya kita boleh terus beribadah dan menjalani kehidupan dengan selesa,” menurut khutbah itu.

Antara intipati khutbah Jais hari ini:

• Umat Islam hendaklah berusaha mencegah diri dari terdedah dan tercampak ke dalam jurang apa sahaja kebinasaan

• Kerajaan membuat ketetapan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada setiap rakyat, justeru ia perlu diterima kerana mendatangkan maslahah dan kebaikan kepada rakyat

• Suntikan vaksin ini merupakan pencegahan yang paling berkesan dan selamat bagi membendung wabak penyakit Covid-19, malah bahan vaksin disah dan dihukumkan harus penggunaannya

• Menolak vaksin secara total adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilarang oleh syara’ kerana ia bukan sahaja boleh memudaratkan diri, bahkan seluruh komuniti

• Umat Islam hendaklah bersatu hati menghadapi persekitaran, ideologi songsang dan ancaman musuh Islam kerana kekuatan paling asas ke arah pembinaan ummah yang bermaruah berwibawa dan cemerlang

• Imuniti kelompok perlu diutamakan dan ia hanya boleh dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi bertepatan dengan prinsip Islam yang mementingkan pencegahan daripada sebarang kemudaratan

• Dari sudut aqidah, kita sebagai umat Islam yang beriman hendaklah yakin bahawa Allah SWT pasti menurunkan ubat dan penawar bagi mengawal penyebaran segala penyakit termasuk Covid-19.

• Setelah segala usaha pencegahan dan doa dilakukan, Islam mengajar kita agar menyerahkan segala urusan seterusnya kepada Allah SWT iaitu tawakkal atau penyerahan diri yang mutlak kepada Allah.

Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Belgium.

Selangor menerima 78,000 dos vaksin Covid-19 yang mengutamakan wakil rakyat dan petugas barisan hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasar atau berkepentingan.


Pengarang :