Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri nasihat rai Tahun Baharu Cina sederhana, patuh SOP

SHAH ALAM, 11 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri menasihatkan rakyat menyambut Tahun Baharu Cina secara sederhana dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengingatkan mereka agar menjaga penjarakan sosial, elak majlis keramaian atau tempat tertutup secara beramai-ramai.

“Tahun Baharu Cina adalah masa mengeratkan hubungan bersama keluarga. Tradisi mengagumkan yang diturunkan dari generasi ke generasi ini membantu mengingatkan anak muda betapa pentingnya hubungan kekeluargaan.

“Bagaimanapun beta berharap rakyat Malaysia meraikan perayaan itu dengan tenang dan berjaga-jaga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” titah baginda menerusi perutusan Tahun Baharu Cina menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda juga mahu rakyat bersama mengingati petugas barisan hadapan yang mengorbankan diri mereka demi negara ketika pandemik Covid-19.

Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak pandang remeh masalah yang melanda negara ketika ini dan meminta kerjasama semua pihak untuk memutuskan rantaian wabak.

“Beta mendoakan anda dan keluarga dikurniakan kesihatan, keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan pada tahun baharu ini. Semoga diberi kekayaan dan kemakmuran buat semua,” titahnya.


Pengarang :