AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah rasuah dibanteras, pelaku diadili segera

SHAH ALAM, 4 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah supaya pelaku rasuah dibanteras segera bersandarkan bukti kukuh dan pengadilan di mahkamah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan itu perlu diadili dengan pantas supaya menjadi taulan kepada masyarakat untuk menjauhi kegiatan terbabit.

“Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

“Oleh yang demikian, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Sultan Sharafuddin bertitah rasuah dan fitnah semakin berleluasa ketika ini juga adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat serta dikhuatiri mampu menghancurkan negara.

Titah baginda kedua-dua perbuatan itu menjadi punca perpecahan dalam situasi politik negara seterusnya mencemarkan reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

“Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu,” titah baginda lagi.

Justeru, baginda menasihatkan rakyat supaya memainkan peranan menghentikan perbuatan tidak bermoral kerana boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.

Sebelum ini, Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.


Pengarang :