Kerja-kerja pengambilan sampel dilakukan petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pembuangan bahan kimia sekitar rizab Sungai Langat di Taman Seri Reko, Kajang pada 3 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suspek kes buang sisa kimia di Kajang ditahan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Feb lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan malam tadi bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek yang diberkas pihak berkuasa itu semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemukan sebuah lori tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori terbabit disita jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa suspek terbabit ke muka pengadilan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

“Saya juga ingin menegaskan JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Feb, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

– BERNAMA


Pengarang :