Selangorkini
Dr Siti Mariah meninjau Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang pada 18 Februari 2021. Foto: Facebook Siti Mariah
AGENSI SELANGOR

Syarikat kecil guna peluang saringan percuma, jimat kos pekerja

SHAH ALAM, 20 FEB: Syarikat kecil menggunakan peluang saringan percuma yang dilaksana Kerajaan Negeri untuk menjimatkan kos perbelanjaan ketika pandemik Covid-19.

Shah Lehan Matzin

Pengurus Operasi Azam Merdu Sdn Bhd, Shah Lehan Matzin berkata kedudukan kewangan yang tidak menentu ketika ini mendorong beliau membawa pekerja seliaannya ke program saringan komuniti itu.

“Bagi syarikat kecil seperti kami, inisiatif sebegini amat melegakan kerana bayaran ujian Covid-19 di klinik swasta agak mahal.

“Tetapi sekiranya kami tidak menjalankan ujian terhadap pekerja, bimbang pula sekiranya kita tidak tahu sama ada pekerja dijangkiti wabak atau tidak, oleh sebab itu kami amat bersyukur ada program sebegini,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Saringan Komuniti Covid-19 di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang kelmarin.

Tay Wei Loon

Perkara sama turut dilakukan Penyelia FP Reel Plating Sdn Bhd, Tay Wei Loon yang turut membawa 12 pekerja asingnya menjalani saringan.

“Saya sangat gembira apabila Kerajaan Selangor berbesar hati membantu penduduknya menjalani ujian percuma Covid-19. Semoga bantuan sebegini diteruskan sehingga kita berjaya mendapat vaksin,” katanya.

Mohd Shafiq Sukri

Bukan saja syarikat, malah pekerja seperti Mohd Shafiq Sukri juga menarik nafas lega setelah mengetahui status kesihatannya untuk bekerja.

Menurutnya, tidak dinafikan virus berkenaan sudah berada dalam komuniti membuatkan lebih ramai berjaga-jaga.

“Keadaan sedemikian memaksa saya untuk lebih peka ketika bekerja, jika saya tidak sihat, sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada rakan sekerja lain,” katanya.


Pengarang :