Guru Tabika Perpaduan Kampung Baru Rasah, Seremban Ng Choy Song (tengah) membantu anak muridnya Tee Pu Hong memakai pelitup muka dengan betul semasa melalui proses pembelajaran ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Tabika Perpaduan secara semuka mula Isnin, patuhi SOP

PUTRAJAYA, 27 FEB: Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Februari lalu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memastikan pengoperasian Tabika Perpaduan tertakluk kepada pematuhan ketat garis panduan pembukaan semula prasekolah, garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau mengingatkan guru agar sentiasa memastikan murid-murid Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan tatacara operasi piawai (SOP) oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Februari lepas mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19, akan bermula pada 1 Mac ini.

Keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hinggat Tahun Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.

– BERNAMA


Pengarang :