Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V Saravanan (dua, kiri) bersama pegawainya meninjau rumah ke rumah untuk memastikan masyarakat Cina mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa mengadakan majlis makan besar bersama ahli keluarganya sempena sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan Jelutong di sini semalam. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tahun Baharu Cina: Makan besar disambut sederhana ikut SOP

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kemeriahan sambutan malam Tahun Baharu Cina kali ini masih dirasai walaupun disambut dalam suasana norma baharu di seluruh negara, ketika negara berjuang memerangi wabak Covid-19.

Tahun ini, bagi tradisi makan besar upacara wajib pada malam sambutan perayaan itu, kerajaan menetapkan ia hanya boleh disertai 15 orang ahli keluarga terdekat, yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius yang dibenarkan hadir tanpa rentas daerah dan negeri.

Berbeza dengan tahun sebelumnya, ini merupakan tatcara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Tradisi makan besar yang sinonim dengan sambutan tahun baharu itu biasanya disertai sanak-saudara dari pelosok negara, bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Bagi sebuah keluarga di Pulau Pinang mereka biasanya menyambut malam tahun baharu bersama seluruh keluarga untuk makan di restoran, tetapi tahun ini hanya dilakukan di rumah sahaja bersama ahli keluarga terdekat.

Yap Li Qiang, 52, yang menyambut majlis itu bersama isteri dan anak bongsu berusia 25 tahun berkata, tahun baharu ini hanya disambut sederhana dan tidak semeriah sebelum ini.

“Saya sendiri tidak menghias rumah seperti biasa, cukup ala kadar. Esok (hari ini) pun kami akan berdoa di rumah dan saya sangat meminta (doa) Covid-19 cepat pulih, rindu nak berkumpul dangan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan ketika dihubungi berkata, pasukan pemantau khas telah membuat tinjauan dari rumah ke rumah dan rumah ibadat, bagi memastikan tiada pihak yang melanggar SOP dan berkumpul lebih daripada 15 orang, seperti ditetapkan.

Satu lagi keluarga di Taman Mutiara Rini, Johor turut meneruskan tradisi makan besar mereka yang menjadi simbolik kepada perayaan itu, walaupun tradisi itu diibaratkan ‘tidak lengkap’ tanpa pertemuan keluarga untuk makan bersama.

Sunny Soo, 48, turut meluahkan rasa lega, kerana kerajaan membenarkan tradisi itu diteruskan dengan SOP ketat, walaupun tidak dapat makan besar bersama adik perempuannya yang berada di Singapura.

“Makan besar tetap buat, tetapi sederhana sahaja. Tahun ini sambutan memang sunyi, persiapan tidak buat, tiada dekorasi atau beli baju…tetapi tidak mengapa, harap tahun depan dapat sambut seperti biasa,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Soo berkata dia sekeluarga juga tidak akan ke mana-mana esok, dan hanya akan berada di rumah kerana bimbang akan penularan Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :