Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pula meluangkan masa pada pagi tahun baharu dengan melawat penduduk di Subang Permai dan mendengar masalah mereka.
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Tahun Baharu Cina: Wakil rakyat sumbang makanan, santuni penduduk

SHAH ALAM, 13 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina dalam suasana pandemik Covid-19 kali ini digunakan wakil rakyat untuk menyantuni penduduk setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Wong Siew Ki berkata dia tidak dapat pulang ke kampung halaman di Ipoh, Perak tetapi menggunakan masa yang ada pada malam Tahun Baharu dengan aktiviti memasak.

“Biasanya saya dapat meluangkan masa di dapur bersama keluarga, tetapi disebabkan sambutan dalam norma baharu, saya cuba untuk menggembirakan orang lain.

“Masakan saya pada malam Tahun Baharu lalu, saya beri kepada pengawal keselamatan di rumah sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang selama ini banyak berkorban menjaga keselamatan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki meluangkan masanya untuk memasak pada malam tahun baharu. Istimewanya.

Sementara itu ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pula masih sempat turun padang dan melawat beberapa lokasi termasuk Subang Permai dan Indah Court pada pagi perayaan.

“Disebabkan tidak boleh menziarahi ahli keluarga seperti sebelum ini, saya cuba luangkan masa untuk dengar masalah penduduk.

“Dapat juga saya bantu penduduk Subang Permai mencari punca longkang tersumbat, yang rupa-rupanya disebabkan tumpahan konkrit semasa penduduk mengubah suai rumah,” katanya.

Pada masa sama katanya beliau turut menyerahkan 100 bungkus makanan kepada wakil penduduk Indah Court.

Bagi ADN Sekinchan, Ng Suee Lim pula memaklumkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di kawasannya kali ini amat berbeza.

Katanya, Sekinchan sebelum ini amat meriah kerana ahli keluarga penduduk dari Kuala Lumpur, Singapura dan negeri lain pulang ke kampung.

“Tetapi kali sambutannya amat suram, walaupun kita sudah memasang lebih 2,000 tanglung di seluruh lokasi tetapi kehangatannya tidak seperti dulu.

“Walaupun begitu, semua ini dilakukan demi memutuskan rantaian Covid-19, semoga ia cepat berlalu pergi dan kita akan kembali bersatu bersama keluarga,” katanya.

 


Pengarang :