EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim bercakap semasa ditemu bual Media Selangor bagi program sambutan Tahun Baru Cina 2021 peringkat Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 2 Febuari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tahun Baru Cina untuk semua, program dialih bahasa

SHAH ALAM, 2 FEB: Program sambutan Tahun Baru Cina 2021 peringkat negeri secara dalam talian pada 12 Februari sesuai ditonton semua golongan dan lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) berkata bertemakan ‘Tahun Baharu, Harapan Baharu’, program 68 minit itu dilengkapi alih bahasa berbahasa Melayu akan memudahkan penonton menghayatinya.

“Persembahan tidak hanya menonjolkan muzik untuk kaum Cina sebaliknya sesuai buat Melayu, India dan Barat.

“Memandangkan ia secara maya, rakyat berbangsa Cina dan yang lain di luar negara boleh bersama-sama merasai kemeriahannya,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika ditemui hari ini.

Membabitkan kos lebih RM400,000, EXCO Kerajaan Negeri itu berkata program berkenaan berada dalam persiapan terakhir.

“Kita sudah jangkakan dari Disember sambutan tahun ini tidak boleh seperti kebiasaan maka timbul cadangan dibuat dalam talian.

“Selama 12 tahun kita sambut dengan meriah. Buat himpunan di beberapa tempat antaranya Ampang Jaya, Klang dan Petaling tapi kali ini ia berbeza namun harap kemeriahan masih dirasai,” katanya.

Program julung kali diadakan itu menampilkan 12 persembahan seperti nyanyian, tarian dan kebudayaan bermula jam 9 malam selain diselitkan ucapan dan mesej positif Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Orang ramai boleh menonton di laman Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari https://www.facebook.com/ami.mbselangor serta di beberapa media elektronik.


Pengarang :