Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali beramah mesra dengan guru dan pelajar tingkatan lima semasa melakukan tinjauan pelaksanaan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tamat PdP bersemuka tidak jejas persiapan calon SPM, SVM

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Persediaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi tahun 2020 tidak akan terjejas walaupun sesi persekolahan secara bersemuka tamat mulai hari ini, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Setiausaha Agungnya Harry Huat Hock berkata walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka berlangsung kurang sebulan sejak 20 Jan, persiapan SPM dilakukan guru serta murid sejak tahun lepas termasuk sesi PdP di rumah (PdPR) bagi menghabiskan silibus subjek.

Jelasnya, tempoh kira-kira dua minggu sebelum SPM bermula pada 22 Feb ini adalah ‘pecutan’ akhir bagi calon untuk membuat persediaan peperiksaan termasuk latihan teknik menjawab soalan.

“Kini adalah masa untuk mereka (calon) belajar sendiri serta membuat persiapan terakhir dan jika masih memerlukan bantuan secara individu, mereka masih boleh menghubungi guru mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menerusi edaran pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 4 Feb yang tular baru-baru ini, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir esok bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Feb selain membolehkan pelajar menyambut Tahun Baharu Cina.

Pekeliling itu turut menyatakan sekiranya terdapat keperluan mengadakan kelas tambahan bagi calon peperiksaan, pihak sekolah boleh melaksanakan dengan persetujuan ibu bapa serta pematuhan SOP ketat.

Susulan itu, terdapat saranan daripada beberapa pihak termasuk calon peperiksaan supaya sesi PdP bersemuka di sekolah diteruskan sehingga bermula peperiksaan.

Sementara itu, beberapa calon peperiksaan yang ditemui Bernama berpendapat persiapan mereka menduduki peperiksaan hujung bulan ini tidak terkesan malah ruang masa yang ada dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran.

Calon SPM 2020, Mohamad Fikri Mohd Noor, 17, berkata sesi PdP sejak 20 Jan lepas digunakan sepenuhnya dengan mengulang kaji silibus yang diajar ketika PdPR.

Beliau yakin semua calon SPM akan memanfaatkan tempoh akhir ini untuk memantapkan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar SMK Batu Muda, Sentul, Nur Farah Aqilah Huzair, 17, berkata sepanjang persekolahan secara PdPR sebelum ini, guru dan rakan sekelasnya menghabiskan silibus subjek.

“Kami masuk sekolah (baru-baru) hanya ulang kaji silibus sebelum ini dan buat latih tubi soalan ramalan dan koleksi soalan peperiksaan tahun-tahun lepas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :