Sebuah keluarga berjalan keluar selepas selesai upacara sembahyang di Shah Alam Buddhist Society, Shah Alam sempena Tahun Baharu Cina pada 12 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanpa tarian singa, Tahun Baharu Cina disambut meriah di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Perayaan Tahun Baharu Cina di Sabah, Sarawak serta Labuan tetap meriah dalam konteks tersendiri di sebalik keterbatasan amalan kebiasaan baharu serta tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Tiada tarian singa yang menghingarkan suasana, sementara aktiviti kunjung-mengunjung digantikan dengan panggilan video bagi merapatkan silaturrahim dengan sanak saudara serta rakan taulan yang tinggal berjauhan.

Di Sabah, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dalam perutusannya bersempena sambutan itu memberi jaminan kerajaan negeri akan sentiasa mendengar permasalahan masyarakat, termasuk kaum Cina di negeri tersebut.

“Kekuatan Sabah terletak pada rakyatnya. Kepelbagaian tradisi, etnik dan bahasa tidak memisahkan kita malah membina sebuah masyarakat harmoni. Justeru, marilah kita bersama-sama merapatkan barisan ke arah Sabah lebih maju dan progresif,” katanya.

Sementara itu, masyarakat keturunan Tionghoa yang ditemui mengakui terasa “kesunyian” tanpa bunyi paluan gendang yang mengiringi persembahan tarian singa atau letupan mercun yang lazimnya memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina saban tahun.

“Pada kebiasaannya, saya akan menunggu kedatangan mereka (penari tarian singa) di depan rumah apabila terdengar bunyi gendang tarian singa. Saya akan bersedia untuk membuka pagar rumah dan menyediakan angpau kepada mereka,” kata Elaine Han, 29.

Setiausaha Persatuan Tarian-Tarian Naga dan Singa Lee Kiong Sabah Mie Mie Lee berkata lazimnya mereka menerima banyak tempahan untuk membuat persembahan setiap kali Tahun Baharu Cina, namun kali ini mereka akur dengan arahan yang tidak membenarkan persembahan itu diadakan.

“Kami juga menghentikan sementara waktu sesi latihan tarian singa. Tunggu kes Covid-19 menurun, barulah kami mulakan semula latihan. Sekarang, penari-penari menjalani latihan sendiri di rumah bagi terus mengasah kemahiran mereka,” katanya.

Kam Heng Long,31 mengikuti upacara sembahyang di Tokong Kau Ong Yah, Ampang pada 12 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Di Sarawak, masyarakat Cina di Kuching memilih untuk berada di rumah bersama keluarga tersayang dalam sambutan yang sederhana.

Tinjauan Bernama di Tokong Tua Pek Kong dan Hiang Thian Siang Ti berhampiran Kuching Waterfront juga mendapati kedua-dua tokong sunyi kerana ditutup kepada orang awam dan mereka yang datang untuk bersembahyang diminta pulang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebelum ini memaklumkan upacara sembahyang di rumah ibadat bersempena Tahun Baharu Cina hanya dibenarkan untuk ahli jawatankuasa rumah ibadat tersebut sahaja dan terhad kepada 12 orang selain hanya pada hari pertama sambutan sahaja.

Di Wilayah Persekutuan Labuan, tiada sambutan rasmi diadakan oleh pemimpin komuniti Cina seperti sebelum ini, namun sambutan Tahun Baharu Cina masih dapat dirasai dengan dekorasi tanglung di sekitar bandar.

Ketua MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui berkata meskipun sambutan Gong Xi Fa Cai amat berbeza, tetapi masyarakat dilihat menerima seadanya.

“Sudah semestinya ‘yee sang’ tidak lagi diutamakan dalam sambutan tahun ini, namun makan bersama keluarga dalam satu rumah tetap diadakan,” katanya.

Usahawan tempatan, Alex Lee berkata bagi membangkitkan suasana sambutan, dia menggantung tanglung besar di hadapan pintu rumahnya.

“Tradisi tahunan meraikan sambutan bersama ibu bapa saya di Kudat tahun ini terpaksa dilupakan, tidak ada makan besar, cuma berhubung melalui panggilan video dengan mereka. Sudah tentu tidak sama dengan berada secara fizikal dengan mereka, tapi apa yang boleh kita buat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :