Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyerahkan tablet kepada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Dr Shahabuddin Ibrahim (dua, kiri) bagi kegunaan petugas barisan hadapan di Maeps Serdang pada 2 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Taska anak petugas hadapan PKRC Serdang beroperasi 8 Februari

SERDANG, 2 FEB: Taska menempatkan anak petugas hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini bakal beroperasi mulai Isnin depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kira-kira 41 kanak-kanak sudah berdaftar setakat ini dan berharap operasinya kelak berjalan lancar.

“Kita anggarkan seramai 2,000 petugas hadapan di sini dan mungkin sebahagiannya akan hantar anak mereka ke taska. Diharap operasinya lancar dan kita akan menambah baik kemudahan dari masa ke masa,” katanya selepas melawat taska berkenaan hari ini.

Amirudin turut menyerahkan 14 unit tablet bagi melancarkan urusan petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat rawatan tersebut.

Kerajaan Selangor melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan secara percuma selama dua bulan untuk meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Program itu melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan sementara di hospital
awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga.


Pengarang :